1. S: Apakah yang dimaksudkan dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?  
J: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) merupakan satu program di mana pihak SKMM akan menyediakan capaian internet , penggunaan komputer dan kelas usahawan digital serta kelas IT di kawasan Program Perumahan Rakyat dan di kawasan pedalaman.

2. S: Bilakah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dilaksanakan?   
J: Pelaksanaan adalah secara berperingkat mulai tahun 2022 dimana 37 NADI baharu akan dibuka pada suku pertama dan dijangka jumlah NADI adalah sebanyak 1083 NADI yang akan beroperasi di seluruh negara pada hujung tahun 2022.

3. S: Bagaimanakah cara untuk saya memohon Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan saya ?  
J: Pemilihan lokasi NADI adalah berdasarkan kepada tinjauan dan lawatan tapak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh SKMM dengan kerjasama agensi Kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan.

Perlantikan pemberi perkhidmatan bagi melaksanakan NADI adalah melalui proses tender terbuka kepada pemegang-pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998).

4. S: Bagaimanakah kaedah pelaksanaan projek Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?  
J: Proses pelaksanaan NADI adalah melalui kaedah tender terbuka mengikut peraturan-peraturan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). Sila rujuk www.skmm.gov.my dari semasa ke semasa bagi pemberitahuan tender.    

5. S: Adakah terdapat syarat-syarat khusus untuk membida projek Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?  Adakah orang awam boleh memohon untuk membuka Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ini?

J: Pihak pembida hendaklah merupakan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian Individu (NSP(I)),Pemberi Perkhidmatan Kemudahan Rangkaian Individu (NFP(I)) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sila rujuk kepada Bahagian Pelesenan SKMM untuk keterangan lanjut.   

6. S: Apakah kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?  
J: Perkhidmatan yang disediakan adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan Wi-Fi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan IT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian, perkhidmatan Scan, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus dan pembantu pengurus.   

7. S: Siapakah yang boleh mengunjungi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?  
J: Penggunaan PI adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

8. S: Dimana NADI terdekat yang saya boleh mendaftar sebagai ahli?
J: Pihak tuan/puan boleh rujuk pada Google Maps yang mana boleh dijumpai dengan carian "NADI (nama kawasan)" atau "Pusat Sebaran Maklumat Nasioanal (nama kawasan).

9. S: Adakah saya perlu mendaftar untuk menggunakan kemudahan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?   
J: Pengguna digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli NADI bagi menikmati kadar yang lebih murah bagi setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.       

10. S: Adakah saya akan dikenakan caj sekiranya menggunakan kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?    
J: Cak akan dikenakan diatas penggunaan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan dengan kadar caj yang rendah dan berpatutan.

11. S: Saya berminat untuk mengikut program latihan ICT di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). Berapakah kadar yang dikenakan bagi setiap program latihan?
J: Tiada bayaran akan dikenakan ke atas setiap program latihan yang disediakan. Anda dinasihatkan untuk berhubung dengan pengurus NADI yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

12. S: Apakah perbezaan di antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan cybercafe sedia ada?    
J: Setiap penggunaan komputer NADI adalah dipantau oleh Sistem Pemantauan Berpusat dan pengurus bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan. Selain itu, terdapat juga kempen kesedaran dan panduan penggunaan internet kepada pengguna.